10 March 2021



Demam adalah tindak balas normal badan terhadap sebarang jangkitan atau penyakit-penyakit lain. Sebagai ibu kita akan bertindak bila bayi mengalami demam. Namun ibu perlu lebih berhati-hati kerana ada sakit yang tidak mengalami demam.

Antara tanda lain bayi sakit tanpa demam seperti:

1. Menangis sepanjang waktu

Selalunya bayi akan menangis ketika mereka merasa dahaga, lapar, mengantuk, letih, atau ketika lampinnya perlu diganti. Sekiranya ibu tidak menemui punca menangis,kemungkinan itu tanda bayi mengalami kesakitan. 

Bayi yang selalu menangis adalah isyarat bahawa dia merasa tidak selesa di badannya. Penyebabnya boleh berbeza-beza, misalnya kerana gigi, radang, sakit perut atau kolik.

2. Selera makan atau menyusu menurun

Bayi yang sakit akan menolak makanan dan tidak mahu minum susu. Bila si kecil kurang selera makan boleh jadi tanda anak mengalami sakit tekak atau telinga yang menyebabkannya merasa sakit ketika menelan.

3. Muntah

Sama seperti demam, bayi sering mengalami muntah sama ada kerana tercekik atau perkara lain. Muntah sekali atau dua kali mungkin bukan masalah besar. Namun, apabila dia sering muntah, itu mungkin tanda bayi itu mengalami gastroenteritis atau jangkitan usus yang disebabkan oleh virus atau bakteria atau penyakit serius lainnya.

4. Cirit-birit

Ibu harus selalu periksa sistem pembuangan bayi, terutama ketika menukar lampinnya. Apabila bayi kerap buang air besar dan teksturnya kelihatan berair, ini menunjukkan bahawa ada yang tidak kena dengan pencernaannya.

Bukan hanya itu, perubahan warna najis juga menjadi petunjuk ada masalah dengan pencernaan. Terutama apabila warnanya tidak berkaitan dengan makanan yang dimakan bayi sebelumnya. Bayi selalunya mengalami cirit-birit ketika mengalami jangkitan, sakit perut, mengalami kesukaran untuk mencerna makanan tertentu atau mengambil terlalu banyak cairan.

5. Dehidrasi

Dehidrasi adalah tanda bayi anda tidak sihat. Bayi akan kehilangan cecair dengan mudah. Dehidrasi berlaku apabila badan bayi kehilangan air dan nutrien lebih cepat daripada pengambilan yang masuk ke dalam badan. Berhati-hatilah ketika bayi menunjukkan tanda-tanda seperti bibir dan mulut kering, kulit pucat, menangis tanpa jemu dan kencing kuning gelap.



ChubbyBitsy's Blog . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates