20 November 2020



Jangan penat dalam memperbaiki sikap anak, mungkin dia ingin mengatakan sesuatu dengan sikapnya itu.  Salah satu tugas ibu bapa adalah membesarkan anak agar mereka dapat bersikap sopan santun dalam berkomunikasi dengan orang lain.

Walaupun ibu telah memberi contoh kepada anak, itu tidak bermaksud ibu bapa akan dapat apa yang ibu inginkan. Setiap ibu tidak akan suka bila anak mereka cakap dengan kasar bukan?

Ada beberapa punca yang membuatkan anak bercakap dengan kasar. Boleh jadi anak mengikut bercakap kasar kerana pengaruh orang sekeliling mereka, sama ada keluarga,adik beradik atau kawan. Selain itu juga anak mungkin terpengaruh dengan televisyen atau video di internet.

Kadang-kadang anak sendiri tidak tahu bercakap kasar itu adalah perkara yang tidak elok, jadi sebagai seorang ibu perlu memberi penjelasan yang jelas buat anak. Jadi jom kita cuba cara mendidik anak yang bercakap kasar ini antaranya:

1. Bercakap dengan lemah lembut, tidak perlu menjerit

Lumrah bila anak membuat kesalahan ibu akan merasa marah. Jadi setiap ibu perlu ada kemahiran bertenang ini walaupun ianya bukan perkara mudah. 

Berdepan dengan anak memang perlu kesabaran yang tinggi. Misalnya anak bercakap kasar ibu perlu menegur dengan cara elok bukan dengan menjerit memarahkan anak ini kerana menaikan lagi kemarahan anak.

Jika anak bercakap kasar dengan adik beradik atau dengan orang lain ketika main, ibu perlu menegur anak dengan lembut atau mengajaknya ke tempat lain dan berbual dengan baik. Tanya anak apa mereka rasa jika adik beradik lain atau kawannya bercakap kasar dengan dia. Apa perasaan bila ada orang mengejek atau merendahkannya dihadapan orang. 

Ibu juga boleh memberitahu tujuan ibu mengajak anak bercakap di tempat tidak ramai orang kerana tidak mahu menyakiti perasaannya. Secara perlahan-lahan anak akan belajar menghormati orang dan tidak bercakap kasar. 



2. Mencari punca kenapa anak berkelakuan dan bercakap kasar

Anak ini ibarat span yang menyerap apa yang mereka lihat dan dengar. Sebab itu bila anak bercakap atau melakukan perkara yang kasar ianya bukan sifat semulajadi mereka. Jadi ibu perlu mencari sebab macam mana anak boleh berkelakuan dan bercakap kasar. 

Anak kecil yang dibesarkan dengan kasih sayang, akan mudah untuk mengasihi orang lain. Boleh jadi sewaktu membesar anak rasa kurang mendapat perhatian, kasih sayang dan kurang berkomunikasi dengan ibu bapa mereka. Kemungkinan anak bercakap kasar kerana mereka inginkan perhatian.

Ibu perlu memberi lebih perhatian dan sentiasa duduk dengan anak dan tanyakan apa yang mereka alami. 

3. Adakah anak memahami bahasa kesat atau kasar yang mereka ucapkan?

Kadang-kadang ada anak yang tahu perkataan kasar sebagai perkataan baru kerana mereka tahu dari rakan bermain mereka, tanpa mengetahui apa sebenarnya maksudnya.

Peranan ibu perlu memberitahu maksud perkataan kasar itu kepada anak.Beritahu anak perkataan itu tidak elok digunakan dalam perbualan.


4. Memberi pengajaran jika anak mengulangi kata kesat

Sekiranya telah diberi maksud perkataan kasar, dan ibu telah memberitahu anak tidak elok berkata kasar namun anak mengulangi juga ibu perlu memberi pengajaran pada anak jangan abaikan. 

Bila anak tahu mereka akan dikenakan sesuatu akibat disebabkan bercakap kasar mereka akan lebih berjaga-jaga dan menahan diri.

5. Ibubapa perlu menjadi contoh pada anak

Sebagai seorang ibubapa perlulah sentiasa menjadi contoh terbaik buat anak. Ini kerana anak suka meniru apa saja yang dilihatnya. 

Jadi ini adalah cara untuk mendidik anak yang suka berkata kasar. Moga bermanfaat pada ibu.

ChubbyBitsy's Blog . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates